Tinta Sang Pencerah
Wednesday, June 23, 2010
12 tips for muslim youth
Sunday, May 9, 2010
Saidina Muawiyah: Khalifah Yang Teraniaya
Rata-rata umat Islam di zaman mutakhir ini menganggap Saiyyidina Muawiyah r.a sbg pengasas monarki dalam Islam, seorang yang zalim, pemutar belit, pemberontak, ahli politik yang licik dan lain-lain. Tidak ada keburukan yang tidak dihubungkan kepadanya dan tidak ada pula sebagai penulis wahyu daripada ALLAH, seorang yang dikhususkan oleh Nabi saw dengan doa-doanya yang istimewa, tidak pernah dilucutkan jawatan gabenor yang disandang selama 20 tahun dan kemudian sebagai khalifah pula selama 20 tahun.
Soalnya siapakah yang memimpin armada pertama dalam sejarah Islam menentang tentera-tentera Rom? Siapakah pula yang telah menakluk Cyprus, Sicily, Rhodesia, Sudan, Qairawan dan Sind? Siapakah yang menyatupadukan kembali umat di bawah satu panji-panji dalam melancarkan jihad yang terhenti sekian lama berikutan perpecahan dan peperangan saudara yang berlaku di zaman pemerintahan Saiyidina Ali? Dimanakah Muawiyah yang diakui Rasulullah saw, para sahabat dan tabi’en sebagai seorang pemimpin Al-Mahdi, adil, amanah, berani, penyantun, berilmu dan contoh mithali dalam pentadbiran dan penyusunan kerajaan…?
Malangnya, keistimewaan dan keutamaan Muawiyah telah pun mendap ke bawah oleh sikap prejudis umat terhadapnya lantaran terpedaya dengan fitnah yang ditabur oleh musuh-musuh Islam dalam sejarah mereka semenjak zaman permulaan lagi. Benih-benih fitnah yang ditabur itu kemudian telah berakar umbi dan menunjang dengan kuat sekali di dalam taman sejarah kita, sehingga sukar untuk kita mencabut dan membersihkannya melainkan jika kita memiliki keupayaan besar dan bersedia untuk mengorbankan masa yang lama untuknya.
Keutamaan dan kelebihan Muawiyah terbukti di dalam Al-Quran yang menyebutkan kelebihan-kelebihan para sahabat r.anhum dengan banyak sekali dan juga di dalam hadith-hadith, dan atsar para sahabat dan tabi’en. Antaranya yang dinyatakan di dalam kitab sohihaini; Rasulullah saw bersabda; "tentera pertama dari umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga." (Peristiwa perang pertama menerusi lautan telah berlaku pada tahun 28H, semasa pemerintahan Saiyidina Uthman di bawah pimpinan Saiyidina Muawiyah.)
Keutamaan yang lain: Beliau merupakan penulis wahyu, menunjukkan betapa tingginya kedudukan beliau dari kalangan sahabat-sahabat baginda saw, dan membuktikan betapa Rasulullah mempercayainya. Beliau telah didoakan oleh Rasulullah supaya menjadi seorang pemimpin yang terpimpin dan seorang yang diajarkan oleh Allah pengetahuan tentang Al-Kitab dan ilmu hisab, dijauhi azab dan lain-lain. Sebagaimana didoakan oleh Rasulullah supaya dimantapkan pemerintahannya. : “ya Allah jadikanlah dia seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah(manusia) dengannya” -(sohih tarmizi jld.2)
Rasulullah juga berdoa; “ya Allah ajarkanlah dia Kitab dan hisab dan peliharalah dia daripada azab”. Sebenarnya hanya segelintir sahaja daripada kalangan sahabat yang didoakan secara khusus oleh Rasulullah berkenaan hal itu.
Pernah beliau dicela di hadapan Saiyidina Umar, maka Saiyidina Umar pun berkata, "Janganlah kamu mencela anak muda Quraish ini. Dia adalah seorang yang boleh ketawa ketika marah (terlalu penyantun). Tidak boleh diambil apa yang ada padanya melainkan dengan persetujuannya dan tidak boleh diambil apa yang ada di atas kepalanya melainkan dari bawah dua tapak kakinya."
Namun sejarah ini telah diselewengkan melalui pakatan jahat diantara perancang-perancang yahudi dan majusi. Mereka menyebarkan propaganda yang memburukkan khalifah umat Islam pada masa itu. Kemudian mereka membunuh Amirul Mukminin Saiyidina Uthman.
Golongan ini jugalah yang telah menyebarkan fitnah di zaman Saiyidina Ali dengan berselindung secara berbaiah kepada Ali. Mereka jugalah yang memburuk-burukkan Saidina Muawiyah dan menuduhnya dengan bermacam-macam tuduhan liar sememangnya telah lama menjadi syiar pengikut Abdullah Ibnu Saba’, bahkan ada di antara mereka telah memakai topeng taqiyyah, berpura-pura sebagai sunni lalu melontarkan bermacam-macam fitnah.
Masakan seorang sahabat agong Rasulullah saw seperti Muawiyyah itu akan tergugat oleh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh musuh Islam itu. Seorang sahabat biasa Nabi saw pun tidak tergugat dan tercedera kerana riwayat-riwayat golongan ini walaupun ia dinukilkan oleh beribu-ribu Thobari dan Jazari, berjuta-juta Kalbi dan Waqidi.
Inilah sepatutnya menjadi pegangan kita. Bagaimana kita boleh persoalkan tentang orang-orang yang telah dita’dilkan oleh Allah swt sendiri dalam firmannya yang bermaksud : “dan demikianlah kami telah menjadikan kamu(sahabat) satu ummat(generasi) yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul pula menjadi saksi atas kamu.” (al-Baqarah : 143)
*Di ambil dari www.iluvislam.com. Karangan: zahro. Editor: deynarashid
Tuesday, February 9, 2010
Aina Allah?
Aina Allah?
Hadith pertama :
Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulaimi r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bertanya kepada seorang hamba wanita
"Di manakah Allah?" Hamba itu menjawab : "Di atas langit". Baginda bertanya lagi, "Siapakah saya?" Hamba itu menjawab "Anda Rasulullah SAW", Maka baginda bersabda, "Bebaskan dia, kerana sesungguhnya dia adalah seorang mukminah"
Apa pula kata Imam Adz-Zahabi?
"Hadith ini sohih, dikeluarkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, dan An-Nasa'ei, serta tidak hanya satu orang dari kalangan Imam yang memuatkannya di dalam karya-karya mereka. Semua memperlakukannya sebagaimana datangnya, tidak ada yang cuba melakukan tahrif dan takwil"(manhaj al-Imam Asy-Syafi'e Rahimahullah Ta'ala fii Itsbat al-Aqidah;Dr. Muhammad bin A.W. al-'Aqil, ms.431, Aina Allah;Hairi Nonchi ms. 14)
Dalam surah Thoha ayat ke 5 ada menyatakan mengenai perihal istiwa Allah atas 'Arasy.
"Yang Maha Pemurah, beristiwa atas 'Arasy"
Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.a.
"Sifat ini disebutkan oleh Allah di tujuh tempat dalam kitabNya dan kita meyakini apa yang telah ditegaskan oleh Allah terhadap diriNya, bahawa Dia benar-benar bersemayam dengan sifat bersemayam yang layak bagiNya" (Syarah al-Aqidah al-Wasatiyyah, Ibnu Taimiyyah, oleh Syaikh Sa'id bin Ali bin Wahfi al-Qahthaniy, ms 53-54)
Begitu juga dengan ayat berikut( Surah al-A'raf ayat 7) :
Sehubungan dengan ayat itu, beginilah pendapat yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Kathir :
"Sehubungan dengan ayat ini, para ulama mempunyai banyak pendapat. Namun sehubungan dengan ini, kami hanya meniti cara yang dipakai oleh mazhab ulama Salaf As-Soleh seperti Malik, Auza'i, As-Sauri, Al-Lais ibnu Sa'd, As-Syafie, Ahmad, dan Ishaq Ibnu Rahawaih serta lain-lainnya dari kalangan para imam kaum muslimin, baik yang terdahul mahupun yang terkemudian. Iaitu dengan tanpa memberikan gambaran, penyerupaan, juga tanpa mengaburkan pengertiannya"(Tafsir Ibnu Kathir, juz 8, ms 353)
Adakah dengan penetapan Allah istiwa' atas 'Arasy menyebabkan kita menyerupakan Allah dengan makhluk??
Lihatlah jawaban Imam Ibnu Kathir :
"Semua apa yang digambarkan oleh Allah SWT mengenai diriNya, juga apa yang digambarkan oleh RasulNya bukanlah termasuk dalam pengertian penyerupaan (tasybih). Jelasnya, barangsiapa yang meyakini Allah sesuai dengan apa yang diwahyukan melalui ayat-ayat yang jelas dan hadith-hadith yang sahih, kemudian diertikan sesuai dengan keagungan Allah dan meniadakan dari zat Allah sifat-sifat kekurangan, maka dia telah memperoleh hidayah
(Tafsir Ibnu Kathir, juz 8, ms 354)
Sesungguhnya penetapan Allah Istiwa di atas 'Arasy bukanlah bermakna kita menjisimkan Allah dan sebagainya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Malah, ingatlah bahawa tiada suatupun yang menyerupaiNya. Janganlah kita menggunakan akal dalam mencari kesempurnaan Allah sehingga mengingkari nas-nas dan wahyu Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Asy-Syura : 11 ;
Mudah-mudahan kita akan sentiasa beroleh taufik dan hidayahNya. Insya Allah
Monday, February 8, 2010
MAHASISWA KIMIA BERUMUR 10 TAHUN
*DIPETIK DARI AKHBAR KOSMO!
Ainan mahasiswa berusia 10 tahun
saphilla.isa@kosmo.com.my
Pada usia tujuh tahun, Ainan mula mendapat perhatian dunia kerana kepintaran luar biasanya dan menjadi kanak-kanak termuda lulus subjek kimia di peringkat GCE O-Level. Hari ini dia mengukir satu sejarah lagi apabila bergelar mahasiswa universiti.
"SEJAK kelahirannya dia merupakan bayi yang luar biasa. Apabila saya bercakap, dia memalingkan kepalanya kepada saya dan terus berhenti menangis," luah Valentine Cawley, 41, mengenai anak sulungnya, Ainan Celeste Cawley, 10.
Petanda lain mengenai kelahiran anak sulung Valentine turut dirasai oleh isterinya, Syahidah Osman Cawley, 30, seorang pelukis potret dan penulis.
"Ketika saya mengandungkan Ainan, berlaku gerhana matahari penuh. Saya dan suami dapat menyaksikan gerhana matahari tersebut bersama-sama," katanya.
Bagi mereka, semua itu merupakan antara petanda baik bahawa anak sulung mereka mempunyai keistimewaan.
Tekaan mereka ternyata benar apabila Ainan menunjukkan perkembangan yang luar biasa selepas kelahirannya.
Ainan mula merangkak pada usia empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari ketika lapan bulan. Malah, pada usia Ainan mencecah enam tahun, dia mula menunjukkan minat membaca buku kimia.
Kelibat Ainan membaca buku kimia disedari ibu saudaranya. Lalu ibu saudaranya bertanya kepada Ainan sama ada dia faham isi kandungan buku tersebut.
"Ya, saya faham apa yang dibaca," jawab Ainan ringkas.
Sejak itu, buku kimia menjadi santapan mindanya. Ketika kanak-kanak seusianya baru menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, Ainan pula sudah mendalami subjek kimia.
"Setiap hari Ainan akan menunjukkan kertas kerja kimianya kepada saya termasuk idea-idea kimia yang direka sendiri olehnya. Hasil yang ditunjukkan kebanyakannya menghurai mengenai simbol kimia yang begitu kompleks.
"Otaknya begitu pantas memberi tindak balas kepada subjek kimia," kata Valentine.
Setahun selepas mempelajari subjek kimia, Ainan menduduki ujian kimia peringkat O-Level ketika usianya tujuh tahun. Kanak-kanak berdarah Ireland di sebelah bapa dan Melayu Singapura di sebelah ibunya itu lulus ujian tersebut menjadikan dia manusia termuda mencapai rekod itu.
Kejayaan Ainan dicatatkan dalam Singapore Book of Records.
Sejak tahun 2007, nama genius muda itu sememangnya menjadi sebutan seluruh dunia. Beberapa rekod lain dicipta Ainan selepas itu seperti pelajar politeknik termuda di dunia.
Terbaru dia mencipta satu rekod lagi baru apabila menjadi kanak-kanak pintar kimia pertama di dunia yang mendaftar masuk ke sebuah universiti. Sejak awal tahun ini Valentine dan Syahidah memilih universiti di Malaysia, Kolej Universiti HELP di Pusat Bandar Damansara untuk menyambung pengajian Ainan.
Ini bermakna pada usia 10 tahun, Ainan sudah bergelar seorang mahasiswa. Kanak-kanak itu meneruskan pengajian dalam Ijazah Program Amerika.
Ainan di HELP
Berdepan dengan situasi yang hampir sama dengan ibu bapa kanak-kanak genius lain, Valentine dan Syahidah sebenarnya sedikit bergelut dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik buat Ainan.
"Kami berdepan dengan sistem pendidikan yang tidak sanggup membuat pengecualian untuk menampung keperluan Ainan.
"Ramai beranggapan kanak-kanak pintar tidak memerlukan bantuan khas, walaupun pada hakikatnya semakin pintar seseorang itu, semakin banyak yang mereka perlu pelajari," kata Valentine.
Sekiranya kanak-kanak genius dipaksa untuk menuruti sistem pendidikan konvensional, maka mereka akan merasa bosan, kecewa, sekali gus hilang minat terhadap pendidikan.
"Ainan menghadiri sekolah dasar selama tiga tahun di Singapura dan merasa bosan," cerita Valentine.
Bapa kanak-kanak genius itu merupakan seorang penulis, pakar fizik kerajaan, pengasas dan pengarang majalah Arts. Dia juga seorang artis persembahan yang pernah mendapat liputan saluran televisyen Cabel News Network (CNN) dan agensi berita, Reuters.
Mencari sebuah universiti yang dapat memberikan pendidikan terbaik kepada Ainan, usaha Valentine dan Syahidah akhirnya berlabuh di Malaysia. Mereka menghubungi Presiden Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Zuhairah Ali, untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Dalam masa seminggu, Zuhairah telah mendapatkan tawaran daripada beberapa buah kolej dan universiti di Malaysia.
Mereka mendapati Kolej Universiti HELP paling sesuai untuk Ainan.
Selain menuntut dalam Ijazah Program Amerika Ainan juga akan mengambil kursus sains komputer, di samping meneruskan pengajian kimia, subjek fizik dan matematik peringkat A-Level.
"Dia juga akan mengambil subjek sastera liberal untuk menjamin satu latar belakang pendidikan yang luas serta sebagai persediaan menghadapi tugas dan cabaran akan datang. Program pembelajarannya akan berubah mengikut minat Ainan," kata Valentine.
Memudahkan lagi pemantauan Valentine terhadap anak sulungnya itu, dia bersetuju menerima tugas Penyelidik Psikologi di Jabatan Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku di Kolej Universiti HELP.
Demi Ainan juga, Syahidah dan dua adik Ainan, Fintan Cawley, 6, dan Tiarnan Cawley, 4, juga menetap di Malaysia.
Fintan dan Tiarnan turut menunjukkan perkembangan kecerdasan minda yang hampir dengan Ainan cuma mereka memiliki kekuatan masing-masing dalam bidang berbeza.
Sementara itu, Pengarah Jabatan A-Levels Kolej Universiti HELP, Jahn Cheah, melahirkan rasa gembira dan bangga kerana memperoleh seorang pelajar genius di universiti itu.
"Kami akan pastikan Ainan menerima sokongan penuh terutamanya sebagai kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan yang berbeza. Kami pasti Ainan akan seronok menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang baru di HELP," katanya.
Tiada makanan tambahan
Tidak terlalu bimbang dengan sajian makanan untuk Ainan di Malaysia, akui Syahidah tiada makanan khas atau istimewa diberikan untuk Ainan.
"Dia makan apa saja yang dia mahu. Apa yang saya tahu, Ainan sangat suka makan biskut cip coklat dan roti canai.
"Semasa saya mengandungkan Ainan, saya tidak mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya mengandung normal seperti wanita lain," kata Syahidah.
Kanak-kanak pintar
Malaysia juga mempunyai kanak-kanak pintar. Adi Putra Abd. Ghani, 11, yang merupakan seorang kanak-kanak prodigi dalam bidang matematik di Malaysia.
Adi yang dilahir di Bagan Serai, Perak memiliki kepintaran dalam matematik sejak berusia lima tahun lagi.
Dia mampu mencetuskan formula-formula baru dalam bidang matematik yang hanya boleh dilakukan oleh profesor matematik di universiti sahaja.
Adi juga begitu mahir dalam bidang matematik terutamanya algebra, trigonometri, darab antara lima hingga enam digit.
Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar, memang dari sudut psikologi beliau bersetuju terdapat faktor genetik dan persekitaran yang menyebabkan seorang kanak-kanak itu pintar.
"Kebanyakan kanak-kanak pintar disebabkan oleh faktor genetik. Namun begitu, jika ia ditambah dengan stimulasi, rancangan masa depan dan persekitaran yang sihat daripada ibu bapa mereka, kanak-kanak itu akan menjadi lebih pintar apabila mereka dewasa kelak," katanya.