Tuesday, May 27, 2008

Pengertian Tasawuf.

Pengertian Tasawuf.

oleh :Ust Hafiz Firdaus

Para pengkaji ilmu tasawuf berselisih pendapat tentang pengertian atau definisi tasawuf. Perselisihan mereka bermula dari perkataan Sufi (الصوفي) itu sendiri. Ada yang membahas dari sudut maksudnya, ada yang membahas dari sudut asal usulnya dan ada yang membahas dari sudut masa kelahiran perkataan itu sendiri.


Akan tetapi di antara perselisihan ini, yang rajih ialah perkataan “Sufi” hanyalah satu julukan atau gelaran.[1] Yang penting bukanlah perkataan tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh perkataan tersebut. Pengertian “Sufi” di sisi ‘Abd al Qadir al-Jilani rahimahullah (561H) ialah orang yang berjaya merealisasikan ciri-ciri murni serta sifat-sifat mulia sehingga dia berhak untuk disebut sebagai seorang Sufi. Beliau menulis:


Sufi diambil dari kata al-Mushafaat, iaitu seorang hamba yang disucikan Allah atau orang yang suci daripada penyakit jiwa, bersih dari sifat-sifat tercela, menempuh mazhabnya yang terpuji dan mengikuti hakikat serta tidak tunduk kepada salah seorang makhluk.


Dalam ketika yang lain ‘Abd al-Qadir al-Jilani berkata:


Sufi ialah orang yang bersih batinnya dan zahirnya serta mengikuti Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.


Kembali kepada perbahasan asal kita tentang pengertian tasawuf (التصوف) (al-Tashawwuf), ‘Abd al-Qadir al-Jilani mengertikannya sebagai:


Tasawuf ialah percaya kepada Yang Haq (Allah) dan berperilaku baik kepada makhluk.

Pengertian ini beliau jelaskan sebagai berikut:

Yaitu bertaqwa kepada Allah, mentaati-Nya, menerapkan syari‘at secara zahir, menyelamatkan hati, memperkayakan hati, mengindahkan wajah, berdakwah, mencegah penganiayaan (ke atas orang lain), sabar menerima penganiayaan dan kefakiran, menjaga kehormatan guru, bersikap baik dengan saudara, menasihati orang kecil dan besar, meninggalkan permusuhan, bersikap lemah lembut, melaksanakan keutamaan, menghindari dari menyimpan (harta benda), menghindari persahabatan dengan orang yang tidak setingkat (dalam keimanan) dan (akhirnya) tolong menolong dalam urusan agama dan dunia.


Daripada nukilan-nukilan di atas, jelas bahawa pengertian Tasawuf di sisi ‘Abd al-Qadir al-Jilani ialah ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia yang patut diterapkan oleh orang Islam ke atas dirinya. Penerapan ini dilakukan dengan bermujahadah, yakni pertarungan ruhani untuk mengawal dan menumpaskan nafsu yang tercela.Apabila seseorang itu berjaya menerap dan merealisasikan ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia tersebut, barulah dia digelar sebagai seorang Ahli Sufi.


Pengertian Tasawuf dan Sufi yang diberikan oleh ‘Abd al-Qadir al-Jilani di atas mungkin berbeza dengan tokoh-tokoh tasawuf yang lain. Namun jika dicermati perbezaan-perbezaan ini, akan didapati bahawa kesemuanya tetap mengarah kepada maksud yang satu. Hal ini sepertimana yang dirumuskan oleh ‘Abd al-Fatah Ahmad al-Fawi:


Secara ringkasnya Risalah al-Qusyairiyyah, Hilyah al-Auliya’, Tazkirah al-Auliya’ dan lain-lain buku yang memperkatakan tentang tasawuf dipenuhi dengan ratusan lafaz dan cerita tentang ahli sufi dan ahli tasawuf. Kesemuanya memiliki perbezaan ta’bir dan sumber pengambilan. Namun begitu kesemuanya tetap menuju kepada satu tujuan sahaja, iaitu menghindarkan diri daripada kelazatan dunia, membersihkan jiwa dan berusaha mencapai cinta Illahi dalam ruang lingkup ketinggian rohani dan mujahadah nafsu.

MY CURRICULUM VITAE

FREE BLOGGER TEMPLATE